Author: ~Sang Pengembara~
•9:01 PM
Hari ini aku berada dalam mood ceria, Alhamdulilah, syukur dipanjatkan ke hadrat Illahi kerana diberi kesempatan dan peluang untuk terus hidup seterusnya melaksanakan tugas sebagai khalifahnya di atas muka bumi ini...

Semalam sepetang berada di Pesta Buku Antarabangsa membuahkan perasaan yang sungguh menyeronokkan. Bertemankan anak dan suami, satu demi satu booth yang ada kami lawati (tapi tak sempat habis semua, terlalu banyak booth). Sungguh tidak disangka suami juga seronok berada disitu. Hinggakan dia berkata "Kalau datang pesta buku macam ni, kita kena datang seawal pagi, baru habis semua booth kita kunjungi, dah lewat petang tak puas berjalan". Aku hanya mampu tersenyum kerana tidak pernah terlintas difikiran aku yang suami juga berminat untuk ke Pesta Buku seperti ini. Selama ini,  aku ingatkan dia cuma minat dengan dunia permotoran. Sorry sayang, I taulah u tu cikgu, tapi i tak tau plak yang u akan join I ke pesta buku macam ni.. hehe.. Manakala, Aiman, satu-satunya anakku buat masa ini juga begitu teruja. Bibirnya tidak lekang dari menguntum senyuman. Kaki dan tangannya meronta-ronta minta dilepaskan. Pegang buku itu pegang buku ini, semuanya dia nak pegang, semuanya dia nak. Walaupun umurnya baru mencecah 2 tahun 6 bulan dia begitu ghairah melihat buku yang ada hinggakan mulutnya tidak berhenti berkata "Mama, itu buku Aiman, buku Aiman," Semua buku dia mengaku miliknya.  Alahai anak mama!!

Yang paling membuatkan aku teruja, aku berjumpa dengan penulis novel yang cukup terkenal Puan Aina Emir di booth KarnaDya. Apalagi terus saja aku sambar novel terbaru karyanya "Selamat Malam Kekasih".  Walaupun novel tersebut telahpun aku beli sebelum ini namun untuk mendapatkan tandatangannya, aku sanggup beli novel ini buat kesekian kalinya. Sayang sekali, moment itu saat manis semasa mendapatkan tandatangannya tidak pula dapat aku rakamkan dan abadikan kerana bateri kamera pula habis. "Adus, sadisnya". Tapi tak apa, aku dah cukup berpuashati. Dapat tandatangan pun jadilah walaupun tak dapat bergambar bersama.
Di Pesta Buku itu juga aku sempat mendapatkan majalah solusi yang terkini dengan harga RM8.00 senaskah berbanding harga pasaran RM9.00 senaskah. Majalah solusi ini telah aku langgan sejak keluarannya yang ke 20 dan hingga kini sudah keluar keluaran yang ke 31. Aku akan dapatkan back dated isues, episod 1 hingga 19.

Kepada yang belum pergi ke Pesta Buku di PWTC silakanlah berkunjung ke sana, saya jamin anda pasti tidak akan menyesal. Potongan harga buku sangat mengujakan membuatkan anda rambang mata!! macam sayalah, semua buku hendak dibeli. Hehehe. Kalau bab membeli buku saya memang sangat tamak!! ehehe..
Author: ~Sang Pengembara~
•2:54 AM
Ku singgap cerita ini dari sebuah kisah benar.

Dendam pekerja bawahan.... 

Kejadian ini berlaku di sekitar akhir tahun '40-an, di sebuah perusahaan cari gali minyak dan gas Arab Saudi. Di perusahaan tersebut, terdapat seorang  remaja anak jati  Arab Saudi bekerja sebagai kuli. Seharian bekerja membuatkan dia berasa sangat haus lalu dia bergegas mencari air untuk membasahi tekaknya yang kering. Alangkah gembiranya hati anak muda itu apabila dia terlihat air sejuk di dalam sebuah jag tidak jauh dari tempat dia bekerja. Tanpa melengahkan masa dia  segera mengisi air sejuk itu ke dalam gelas.

Belum sempatpun dia minum, tiba-tiba dia diherdik dengan satu suara yang kasar, "Hei, kamu tidak boleh minum air ini. Kamu cuma pekerja bawahan. Air ini hanya khusus untuk jurutera, kamu tidak layak minum air ini!" kata seorang jurutera Amerika yang segak bergaya yang bekerja di perusahaan tersebut.   

Remaja itu akhirnya hanya terdiam menahan haus. Dia sedar akan status dirinya. Hanya kuli biasa. Miskin dan tidak berpendidikan tinggi, dia cuma lulusan  Tahfidz Quran,tiada yang dapat dibanggakan selain dari itu. Namun lulusan itu tidak ada harganya di perusahaan minyak tersebut yang pada dan ketika itu dikendalikan sepenuhnya oleh orang Amerika.

Herdikan itu selalu terngiang-ngiang di telinganya. Rasa hairan menyelubungi diri, persoalan demi persoalan melingkar di segenap penjuru minda 'mengapa hanya segelas air, aku diherdik sebegitu rupa? Adakah kerana aku pekerja bawahan, sedangkan mereka semua jurutera berpendidikan tinggi? Kalau aku jurutera seperti mereka apakah aku akan dilayan sebaliknya? Mungkin aku akan diberi minum air sejuk itu. Ahh, persoalannya, mampukah aku menjadi seperti mereka?  

Pertanyaan itu sering bermain-main di dalam dirinya.  Kejadian itu akhirnya membuka lembaran baru dalam hidupnya. Dia ingin bangkit MEMBALAS DENDAM..! Dia merasakan  seolah-olah ada magnet yang mendesak supaya dia segera melunaskan dendamnya terhadap jurutera itu. Dia nekad untuk mengubah kehidupannya. Di waktu siang dia bertungkus lumus bekerja, di malam harinya pula dia menghadiri kelas malam. Rehat dan tidur yang cukup tiada dalam kamus hidupnya. Dia tekad memburu impiann, untuk mencapai kejayaan.

Kerja kerasnya tidak sia-sia, Dia akhirnya lulus cemerlang, kemudian dia ditawarkan pula melanjutkan pelajaran ke Amerika Syarikat dalam bidang perusahaan dan kejuruteraan, Kegigihannya tidak terhenti disitu, dia kemudiannya menyambung pengajian ke peringkat Master dan Phd dalam pengkhususan Geologi sehingga dia dianugerahkan gelaran Professor.  

Habis belajar, dia kembali ke perusahaan Minyak dan Gas tempat dia bekerja dulu. Di perusahaan tersebut dia dilantik sebagai pembantu jurutera. Dendamnya makin hampir terlunas, kemudian dia dilantik sebagai jurutera dan kini jua dia sudah boleh menikmati air sejuk yang dulu dilarang untuknya minum.  Apakah dendamnya terlerai disitu? Tidak.. Kebiasaan bekerja keras mendorong dia untuk terus berjaya, kariernya semakin berkembang maju, dari jurutera biasa, dia dilantik menjadi Ketua Bahagian, Ketua Jabatan seterusnya dia diberi kepercayaan untuk menjadi CEO Syarikat. Satu jawatan yang mustahil dicapai oleh penduduk tempatan Arab Saudi pada ketika itu.Jurutera Amerika yang dulu pernah mengherdiknya kini menjadi orang bawahannya.


Suatu hari jurutera Amerika ini datang untuk memohon cuti darinya. Dengan perasaan yang serba salah jurutera itu berkata "Saya ingin memohon cuti yang panjang, saya ingin pulang ke kampung halaman, ada urusan di sana, saya harap tuan tidak mengaitkan tindakan kasar saya dulu dengan permohonan cuti ini dan tidak membalas dendam atas perbuatan saya dahulu.  Dengan tenang dan sambil wajahnya tersenyum, remaja yang dulunya pekerja bawahan lalu berkata; "Aku ingin berterimakasih padamu dari lubuk hatiku yang paling dalam, kerana kamu melarang aku minum air sejuk di saat itu.  Aku menjadi seperti apanya aku kini. Ya, memang dulu aku benci pada kamu. Aku bersyukur kepada Allah kerana menghantar kamu sebagai perantara untuk aku bangkit dari kedaifan.

Dalam waktu yang tidak terlalu lama,akhirnya mantan pekerja bawahan ini berjaya menempa tempat disebuah perusahaan yang hebat.  Dia menjadi CEO pertama yang berasal dari bangsa Arab.

 Tahukan anda perusahaan apa yang dipimpinnya?  Perusahaan itu adalah Aramco (Arabian American Oil Company), perusahaan minyak terbesar di dunia.  Hasil kerja kerasnya perusahaan ini semakin maju  dan peratus pemilikan orang Arab Saudi di perusahaan tersebut semakin dominan.  Perusahaaan itu mampu menghasilakn 3.4 juta barrels  minyak dan gas (540,000,000 m3) dan mengendalikan lebih dari 100 ladang minyak dan gas di Saudi Arabia dengan jumlah kapasiti 264 miliar barrels (4.20×1010 m3) minyak dan 253 triliun kandungan gas.  Atas prestasinya yang cemerlang  itu, dia  diangkat oleh Raja Saudi Arabia untuk menjawat jawatan sebagai Menteri Perminyakan dan Mineral, yang mempunyai pengaruh sangat besar di dunia.  Tahukah anda siapa pekerja bawahan ini?  Dia adalah Ali bin Ibrahim Al-Naimi yang sejak tahun 1995 sampai saat ini (2011) menjawat jawatan Menteri Perminyakan dan Mineral Arab Saudi...

Sungguh tidak terbayang dek kita, dengan hanya mengembangkan hinaan menjadi dendam positif, isu air segelas di masa lalu membentuknya menjadi salah seorang penguasa minyak yang paling berpengaruh di seluruh dunia.  Itulah kekuatan "DENDAM POSITIF"
Kita tidak mampu menghalang orang lain melakukan perkara negatif terhadap kita
Kita tidak pernah tahu bagaimana dan dalam bentuk apa ujian akan menimpa kita…
Hanya kita yang mampu menentukan dalam bentuk apa kita menyerap setiap hinaan 
Adakah hanya kerana hinaan kita akan terus mundur?
Atau bangkit dengan semangat "Dendam Positif" ???

Author: ~Sang Pengembara~
•12:24 AM
Baca saja tajuk pasti akan ada yang tertanya-tanya permohonan apa yang diluluskan? Yang pastinya bukan permohonan pinjaman peribadi atau pinjaman perumahan mahupun mana-mana pinjaman dari institusi perbankan dan bukan juga pinjaman kewangan dari Ah Long.. :)

Setelah 5 hari meninggalkan pejabat kerana mewakili jabatan dalam pertandingan bola jaring untuk merebut Piala Naib Canselor UniMap di Perlis Indera Kayangan, hari ini, aku bermalasan menjejaki kaki ke pejabat, dan setibanya di tempat duduk aku, mata  terus tertancap pada dua keping surat dari Bahagian Sumber Manusia. Cuti tanpa rekod dan permohonan kelulusan mengikuti pengajian jarak jauh diluluskan juga ada nota di bawah surat aku.. "PA, Tahniah..Selamat Maju Jaya"... Hehehe, terima kasih bos... tapi dalam hati masih terfikir, macammanalah keadaan bos nanti, bilamana aku pergi ke USM selama berminggu menjawab exam, boleh ke bos tenang di Putrajaya tanpa perlu menelefon aku? Kekadang baru sehari aku cuti macam-macam bos SMS, tanya itu tanya ini.. Inikan pula berminggu... Apapun aku tetap bersyukur kerana urusan aku dipermudahkan.

Ya Allah, saya mahu menjadi pelajar terbaik sastera, saya mahukan keputusan cemerlang. Saya mahu menjadi kebanggaan suami dan anakanda tercinta. Kuatkan semangat saya!! Bulatkan tekad saya kerana saya benar-benar mahu berjaya!!!
Author: ~Sang Pengembara~
•8:03 AM
"Belajar untuk sentiasa bersikap positif dengan sentiasa mengingati peristiwa-peristiwa indah yang pernah berlaku pada diri. Merenungi masa silam yang menyedihkan dan menyakitkan tidak akan mendorong ke arah pemikiran yang positif malah akan membunuh masa depan."  kata-kata itu aku petik dari Maslina, DJ Radio Ikim. 

Mungkin kebetulan aku sedang memikirkan mengenai seorang sahabat yang sentiasa diburu perasaan bersalah, jadi ungkapan DJ itu terus menyelinap masuk ke dalam corong telinga seterusnya tersemat rapi dalam ingatan. Hampir saban hari rasa keluh kesah diluahkan olehnya. Entahlah, walaupun saban hari aku cuba memadamkan rasa keluh-kesahnya namun segala usaha itu seolah-olah tidak menampakkan hasil. Dimana silapnya?? Aku sendiri hingga ke saat ini masih mencari jawapan. 

Sahabat, hari ini aku ingin mengajak kamu berfikir ke arah sudut fikir yang lain. Buang segala luka dan duka semalam. Buka lembaran kisah hidup yang baru. Sahabat, ketahuilah olehmu bahawa penghijrahan itu perlu. Andai ada yang mengungkit kisah silammu, segeralah membalasnya dengan senyuman. Katakan pada mereka, "Terima kasih aku memaafkan kamu dengan mengungkit kisah silamku, namun aku ingin kamu tahu, bahawa aku bersyukur kerana aku di uji pada awal usia. Ingatlah ujian itu boleh menimpa pada sesiapa yang dikehendakiNya, hari ini hari aku, aku redha dan pasrah.  Ujian itu mematangkan diriku dan mendekatkan aku pada kebesaran penciptaku, andai kalian tidak dapat menerima aku seadanya aku, aku yakin Allah dan Rasulku pasti boleh menerima aku sepenuhnya kerana Allah Maha Pengampun dan Nabi menerima maaf daripada umatnya" dan segeralah tinggalkan mereka kerana mereka masih naif pemikirannya dan kembalilah pada mereka setelah mereka tidak menyakiti hatimu lagi. Tunjuklah contoh yang baik pada mereka dengan memaafkan mereka. 

Sahabat, resah diwajahmu bisa melunturkan semangat orang yang melihatnya. Senyumlah...kerana senyuman itu mampu membawa perubahan yang besar dalam hidupmu. Tak percaya??? Cubalah.... :)




Author: ~Sang Pengembara~
•3:42 AM
Hari ini aku sempat menghabiskan bab seterusnya untuk novel pertama aku, walaupun hati masih diburui rasa takut, namun aku gagahkan juga menyiapkan bab demi bab, supaya hasrat aku untuk menyiapkan novel pertama berjaya. Takut?? Ya aku takut novel aku ditolak oleh penerbit. Namun jauh disudut hati aku mengharapkan perkhabaran gembira. Andaikata novel aku itu ditolak aku akan pasrah dan aku akan baiki lagi mutu penulisan aku. Aku tahu bukan senang untuk menjadi novelis yang baik. Aku menulis bukan kerana wang, juga bukan kerna nama apatah lagi kerna mengejar glamour, tidak...tidak sama sekali. Aku menulis kerana aku minat mengarang, aku minat berkongsi cerita, aku minat mereka cerita dengan plot-plot yang menarik, pendek kata aku terlalu meminati bidang ini.

Moga keputusan aku untuk meneruskan pengajian dalam bidang kesusasteraan ini adalah satu keputusan yang tepat. Aku sedari dari Alam Menengah Rendah lagi aku telah disogokkan dengan hal-hal yang tidak menyeronokkan mengenai sastera. "Sastera tak laku", "sastera tak boleh cari makan", "sastera untuk budak-budak ketinggalan" dan macam-macam lagi perkara yang tidak enak yang aku dengar mengenai sastera.

Ya, aku sendiri akui, aku juga pesimis terhadap sastera. Berbekalkan keputusan cemerlang dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) aku ditawarkan mengambil jurusan sains tulen. Jurusan yang dibanggakan di kampung aku, kelas untuk budak-budak pandai. Ramai yang berpandangan bahawa pelajar jurusan sains adalah pelajar bijak. Ya, aku akui. Tapi sayang, kesempatan dan peluang berada di aliran sains tidak aku gunakan sebaik mungkin, aku terlalu sibuk dengan aktiviti kokurikulum... Setiap pertandingan pidato, syarahan, debat, forum, tiada nama lain yang diangkat sebagai peserta, aku pasti menduduki tangga pertama dalam hampir setiap acara tersebut, hinggakan kelas-kelas sains hanya boleh dihitung dengan jari berapa kali saja aku hadiri. Disekolah aku sibuk dengan aktiviti seperti itu, dirumah aku membanting pula tulang empat kerat membantu ma dan abah di kedai makan. Hingga aku terlupa aku pelajar aliran sains yang perlu banyak membaca, perlu memahami pelbagai konsep, teori dan hipotesis supaya setiap soalan SPM berjaya aku jawab dengan cemerlang. Natijahnya aku hanya score  kredit untuk mata pelajaran sains dan aku memperolehi A1 dan A2 untuk matapelajaran teras spt Bahasa Malaysia, Pendidikan Islam, Matematik Moden, Sejarah dan Bahasa Inggeris. Pernah sahabat aku berseloroh, "kalau kamu ambil akaun atau sastera waktu form 5 dulu mesti kamu score semua A kan?"... Aku hanya tersenyum...   Malas untuk aku mengingati perkara yang telah berlalu. 


Berbekalkan Diploma Sains Kesetiausahaan dan berjawatan sebagai setiausaha pejabat, aku merasakan sudah tiba masanya untuk aku bangkit... aku tidak mahu terus ketinggalan. Syukur kupanjatkan ke hadrat Illahi, kerana suami aku juga merestui  niat aku untuk mendalami bidang kesusasteraan, mungkin ini suratan hidup aku, aku tahu Allah Maha Mengetahui, Dia merencanakan semuanya untuk aku, keputusan terletak ditangan aku bagaimana untuk aku mewarnai kehidupan aku di masa depan. 


Siapa tahu suatu hari nanti aku boleh ganti Arena Wati, A.Samad Said, Usman Awang ataupun Shahnon Ahmad....tiada yang mustahil bukan???


Author: ~Sang Pengembara~
•6:42 PM
Tiba-tiba terpanggil untuk meluahkan sesuatu dalam blog ini. Ya, kadang-kadang aku akui, aku boleh menghadapi banyak perkara dengan mudah, namun aku tetap jua mengakui kadang-kadang hati ini terlalu sensitif, terlalu mudah tersentuh waima dengan sepatah perkataan.

apa yang aku lihat dan alami hari ini, benar-benar membuatkan hati ini sedikit terluka, sedikit tercalar. Jarang sekali aku berkira ketika ada yang memohon pertolongan atau dengan rela aku yang menghulurkan pertolongan. Namun, tatkala pertolongan itu yang aku pinta, aku pula disisih. Seolah-olah aku menuntut perkara yang sukar dari mereka.

Biarlah.. biarlah aku rawat sendiri kecewa ini, kerna aku tahu sahabat ketika susah payah dicari.  
Author: ~Sang Pengembara~
•7:13 PM
Sejak dari semalam...aku menerima pelbagai kunjungan rasa keluh kesah dari sahabat-sahabat wanita. Mereka menceritakan tentang kepayahan untuk mereka menemui cinta sejati dari seorang insan yang bergelar lelaki. Walaupun mempunyai latar belakang yang baik, peribadi yang sopan, akhlak yang terpuji, rupa paras yang menawan namun masih sukar untuk mencari jodoh. Siapalah kita kaum hawa untuk terhegeh-hegeh mendambakan diri semata-mata untuk meraih perhatian si jejaka atau layak diberi gelaran si kumbang? Wanita hari ini boleh diertikan seperti si kiambang. Tumbuh melata, subur menghiasi dada kolam namun tetap tidak disentuh oleh manusia, hanya di pandang dengan rasa taksub namun langsung tiada keinginan untuk dipetik dan digubah indah menghiasi meja-meja tamu.  Berbeza dengan bunga tahi ayam, walaupun memiliki bau yang tidak wangi, namun masih ada yang sudi menyunting bunga-bunga tersebut untuk dijadikan hiasan dewan, hiasan di majlis keraian dan keramaian. Apakah salah kiambang? Apa pula kelebihan kuntuman bunga tahi ayam? dan apakah hebatnya si kumbang, hingga menjadi idaman setiap  penghuni alam.. Ah, persoalan yang sukar dirungkai dengan kata-kata..

Menceritakan keaiban diri pada si kumbang demi membuktikan kejujuran hati bagai sengaja membunuh diri. Jika tidak diambil kesempatan, di sepak pula kesana-sini, dan lebih malang lagi bila si kumbang bermain tarik tali. Hari ini kata cinta, esok berubah menjadi benci, hari ini kata sayang, esok berubah menjadi dendam, hari ini kata terima seadanya, esok berubah dengan kata-kata nista..persis mutiara yang tiada harga..

Senyumlah seindah suria,
ketawalah seceria unggas rimba
terbanglah seriang rama-rama
Bahagiakan hidupmu dengan warna-warni pelangi
biar mereka tahu hati ini
tidak selamanya sepi
masih ada ruang untuk terus didekati
kerana hati ini juga layak memiliki
setulus cinta sejati...